Jumaat, 6 Ogos 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini Sabtu.
Ramai yang cuti hari ini. Terutamanya pekerja sektor awam.

Namun tidak kurang juga yang bekerja.

Seperti kedai gunting rambut (haircut corner), tetap setia menawarkan khidmat kepada yang memerlukan.

Kebiasaannya pada hari-hari cuti dan kelepasan inilah ramai yang mengambil kesempatan mengunjungi kedai gunting untuk memperkemas dan merapikan rambut yang sudahpun panjang dan berserabai yang sekaligus mengurang dan menjejaskan penampilan diri.

Dan seperti kelazimannya, hari ini adalah beberapa individu yang seakan menjadi pelanggan tetap, sedang menunggu giliran untuk mendapatkan sentuhan ajaib si tukang gunting.

Apa lagi.....
Bila sudah bertemu sesama mereka, maka panjanglah ceritanya.....

Dari cerita tentang menyambut puasa yang tidak berapa hari lagi, hinggalah kepada cerita tentang DYMM Sultan Johor yang dikatakan akan berangkat ke Muar esok.
Tidak kurang juga dengan cerita Politik Melayu yang berkisar di sekitar kisah penyatuan Melayu antara dua Parti Politik Melayu terbesar di Malaysia.
Banyaklah pro dan kontranya. Masing-masing dengan hujah dan pendapat peribadi yang bukan main-main faktanya.

Saya melihat 'haircut corner' ini bagaikan forum kecil tempat meluahkan pendapat dan berbincang tentang pelbagai isu di kalangan para pesidangnya.
Dan tukang gunting adalah moderator yang baik,yang tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak....supaya ia kelihatan liberal dan tidak menyebelahi sesiapa.
Bukan apa....sekadar menjaga hati pelanggan dan yang penting demi menjaga periuk nasi sendiri.

Nyatalah. Kedai gunting adalah salah satu tempat untuk berjumpa kawan, bertukar-tukar pendapat, berdebat dan bersembang.

Umum mengetahui bahawa kedai kopi atau kopitiam, café, coffee house dan seumpamanya memang terkenal sebagai tempat melepak dan bertemu kawan-kawan. Bersembang sambil menghirup secawan kopi.

Tetapi apa kurangnya dengan 'haircut corner' ini.

Ia juga adalah tempat yang biasa menyaksikan pengupasan isu oleh pesidang-pesidang dan penyembang-penyembang tetap ketika menanti gilirannya tiba.

Terbaru, ada yang menyentuh tentang risalah 'Suara Kebangkitan' oleh Jemaah Hizbut-Tahrir. Risalah-risalah ini diedarkan di masjid,ketika para jemaah khusyuk mendengar khutbah,atau sekurang-kurangnya sedang beriktikaf menantikan masuknya waktu Solat Jumaat.
Risarah-risalah ini akan diletakkan di raga atau bakul motorsikal dan di cermin hadapan kereta.

Yang menjadi persoalan,kenapa tidak di serah secara langsung kepada para Jemaah?
Atau lebih baik diletak di satu sudut, dan terserah kepada sesiapa yang berminat untuk mengambilnya sendiri.

Ini tidak.
Ianya seolah-olah memaksa para jemaah menerima,membaca dan menerima sahaja apa-apa yang ditulis oleh pengarangnya di risalah tersebut.

Tidak semua,malah tidak ramai yang suka dengan edaran risalah-risalah sebegitu.

Akibatnya, ramai yang membuangnya begitu sahaja ketika dalam perjalanan balik dari Solat Jumaat di masjid.
Maka berterbanganlah dan dilanyak serta dipijak dan dilanggar oleh orang,malah kenderaan yang lalu-lalang sepanjang jalan yang dilalui oleh para jemaah itu tadi.

Alangkah malangnya....
.
Alangkah dangkalnya pemikiran pihak yang mahu berdakwah dengan cara begitu.

'Lempar batu sembunyi tangan'.

Itulah peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan perbuatan si pendakwah yang kononnya lebih baik,lebih tau,lebih alim,lebih berjuang ke arah Islam sebenar daripada orang lain.

Terfikirkah kita....
Terfikirkah mereka itu,bahawa di atas risalah-risalah tersebut ada tertulis kalimah ALLAH, RASULULLAH dan sekurang-kurangnya terjemahan dari ayat-ayat Al-Quran yang dijadikan dalil dan hujah oleh pengarangnya untuk menguatkan lagi pendapat dan tulisannya...

Apakah moral mereka yang membiarkan perkara-perkara itu berlaku?
Maksudnya membiarkan risalah yang terkandung di dalamnya kalimah2 suci, dipijak,dilanggar dan diperlakukan secara yang tidak berhemah?

Ya...mungkin akan ada yang mengatakan tidak wajar orang yang menerima risalah seumpama itu membuangnya.
Lalu merekalah yang akan dipersalahkan.....

Namun pada pengamatan saya, punca segala perbuatan membuang risalah-risalah tersebut ialah....
* Pertubuhan Hizbut Tahrir itu sendiri....
* Pengarang risalah yang ghairah mahu berdakwah secara tulisan dah tidak berani bersemuka dengan golongan sasarnya....
* Dan tidak kurang orang yang mengedarkannya kepada para jemaah dengan secara bersembunyi....

Merekalah yang wajib bertanggung jawab ke atas perkara yang amat menyedihkan ini.

Itu berkenaan pengedaran risalah dakwah yang akhirnya menjadi tragedi kepada risalah itu sendiri.

Bagaimana pula dengan isi kandungannya?

Macam-macam ada....

Tetapi tidak ada satu pun sepanjang saya mengenali dan menerima seterusnya membaca isi kandungannya, yang menyetujui tindakan dan usaha pihak lain dalam apa juga bidang.
Semuanya salah di mata pengarangnya.

Bebas mengutuk,memburuk-burukkan pihak lain....terutamanya Kerajaan dan para pemimpin yang sering dilabel sebagai tidak menjalankan malah tidak menerima hukum Islam dalam pemerintahan.

Kerajaan Sekular.!

Demikianlah label yang diberikan.
Undang-undang daripada penjajah dan negara Kuffar yang dikatakan diamalkan di Malaysia.

Semua menjadi isu bagi mereka.
Sehinggakan Piala Dunia Fifa pun tidak terkecuali.
Sihir Bolasepak.!
Itulah yang ditulis dalam satu keluaran risalah Suara Kebangkitan Hizbut Tahrir ini ketika demam bolasepak piala dunia beberapa minggu yang lalu.

Jika anda pernah membaca risalah ini, pastilah anda akan memahami isi kandungan dan apa sebenarnya perjuangan mereka ini.

Saya dengan rendah hati, mencadangkan supaya Hizbut Tahrir didaftarkan sebagai sebuah Parti Politik.

Beranikah mereka?

Jangan hanya berani menyalahkan itu dan ini, sedangkan ia sendiri tidak ada usaha ke arah memperbaiki.

Janganlah hanya syok sendiri, sedangkan ia tidak berani turut sama bertarung dalam gelanggang.

Janganlah hanya pandai mengulas dan melemparkan kata-kata yang kurang enak dari luar sahaja.

Kalau berani....ayuh....masuk gelanggang. Berjuang,bertarung dalam pilihanraya.
Walaupun selalu menuduh demokrasi tidak Islamik dan dari sistem pemerintahan Kuffar....namun inilah sistem terbaik buat masa ini.

Kenapa takut untuk turun ke medan,jika dirasakan perjuangan Hibut Tahrir benar....
Dalam banyak tulisannya,pengaran sering mengajak pembaca mengubah cara pemerintahan di Malaysia.

Bagaimana mereka mahu memerintah dan menegakkan Daulah Islamiah,jika hanya berani berkokok di luar gelanggang?

Adakah mereka mengharapkan revolusi akan terjadi dengan sendirinya?
Adakah mereka hanya berani mengambil kesempatan atas perpecahan dan kemusnahan pihak lain?

Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang risalah atau nasyrah ini.

Sebenarnya,tidak ada pun yang terlalu peduli dengan penerbitan dan pengedaran secara pengecut risalah ini.
Tetapi disebabkan ianya ada ditimbulkan dan diperkatakan tentang nagatifnya risalah ini di sebuah 'Haircut Corner', maka tergeraklah rasa hati untuk menukilkan sedikit pendapat peribadi.



Terserahlah kepada kawan-kawan semua untuk menilainya sendiri.

Pandangan adalah amat dialu-alukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan