Pagi ini saya sengaja ronda-ronda ke Pantai Parit Jawa.
Pantai Leka Parit Jawa sudah berubah wajah sekarang.
Dengan sebuah menara tinjau yang tersergam di satu sudut taman permainan.
Apa yang saya lihat,sebuah excavator sedang dibaiki dengan sedikit kerosakan. Apa yang dibuatnya di pantai itu? Sebenarnya ia sedang melakukan kerja-kerja menambak pantai. Pangkalan nelayan Parit Jawa telah mendapat jeti baru,beberapa bulan yang lalu. Alhamdulillah. Dan dalam proses pembinaannya dulu,memerlukan pantai ditambak sepanjang lebih kurang 300 meter,lebar dalam 5 meter, menganjur ke laut. Ianya selari dengan tebing muara sungai. Jeti konkrit telah siap dan telah pun digunakan oleh para nelayan.
Setelah dibiarkan beberapa bulan tambakan itu tanpa dibongkar kembali, walaupun kerja-kerja pembinaan jeti telah siap sepenuhnya,maka kerja-kerja membongkar kembali tambakan tanah tersebut pun bermula sejak beberapa hari lepas. Apa yang berlaku ialah,tambakan tanah yang menganjur ke laut itu dibongkar dan digunakan pula untuk menambak pantai yang menjadikan tebing pantai bertambah jauh ke tengah.
Untuk apa?
Pihak yang bertanggungjawab sahaja yang tahu tujuannya dilakukan kerja-kerja tersebut.
Anda tahu tidak,bahawa asas tambakan pantai itu dari pokok sawit?
Walaupun di atasnya ditimbus dengan tanah dan bongkah-bongkah batu,percayalah.....suatu masa nanti tanah tambakan itu akan mendap.
Apa puncanya?
Batang pokok sawit tidaklah setahan mana. Dalam sekejap masa saja akan membusuk. Sekarang ini pun sudah mula mereput dan busuk.
Bayangkan beberapa tahun akan datang. Apabila asasnya sudah reput dan busuk,yang di atas pun pasti akan terjerlus dan mendap.
Pada pendapat saya,sepatutnya batang pokok sawit tidak boleh digunakan dan dibenarkan samasekali dalam kerja-kerja penambakan pantai.
Dan ketika itu sekali lagi pihak bertanggungjawab akan memanggil kontraktor untuk memperbaki dengan melakukan penambakan baru.
Ha....
Itulah yang dikatakan projek kerajaan tidak pernah putus.
Dan beberapa teman yang terlibat dengan projek kerajaan pernah memberitahu bahawa projek kerajaan membawa keuntungan yang lumayan.
Macamana?
Macam inilah.
Buat kerja lebih kurang,janji siap,janji dapat kelulusan pegawai dan pihak yang mengendalikan projek tersebut,oklah.
Kualiti?
Siapa yang akan mempertikaikannya?
Dengan kelulusan yang disahkan oleh pegawai terbabit,segalanya nampak sempurna.
Kerja siap.
Payment pun dapat.
Apa yang akan terjadi kepada projek tersebut di kemudian hari,belakang kira.
Jangan takut.
Kerajaan akan memanggil lagi tender untuk kerja-kerja pembaikan semula.
Siapa yang untung?
Sekali lagi kontraktor yang untung.
Kawan-kawan.....
Sebenarnya perkara itu boleh dielakkan,jika kerja-kerja yang pertama ini sempurna. Dipantau sepenuhnya dengan penuh rasa tanggungjawab oleh pegawai yang diberi tanggungjawab,tanpa ada urusan-urusan yang tidak sewajarnya di antara mereka....
Tetapi,siapalah saya.
Malah,siapalah kita,untuk mempertikaikan perkara ini.
Tepuk dada tanya selera.
Orang sekarang kata, tepuk dada tanya iman.
Semoga menjadi renungan kita bersama.